Tanglung pegang berilhamkan anjing beagle sempena Festival Tanglung tahun ini telah dipamerkan pada Khamis lalu, dan tanglung ini mempunyai telinga yang “mengibas-ngibas” semasa bergerak serta bahagian tengah khas yang menghasilkan bayang-bayang tapak kaki anjing bagi melambangkan Tahun Anjing dalam Zodiak Cina.

Tanglung tersebut juga dihiasi dengan imej ikonik Wilayah Chiayi, iaitu tempat festival tahunan tersebut bakal dilangsungkan pada 2-11 Mac. Antara hiasannya ialah Landasan Kereta Api Hutan Alishan, karya seni daripada Muzium Istana Negara Cawangan Selatan dan totem Orang Asli.

Tanglung ini diberikan nama Dali (達力), yang membawa makna “teguh”, dan melambangkan petanda yang baik bersempena Tahun Baru, menurut Ketua Pengarah Biro Pelancongan, Chou Yung-hui.

Selain tanglung pegang, terdapat juga tanglung utama setinggi 21 meter yang menampilkan kanak-kanak orang asli serta Anjing Taiwan yang akan dipamerkan di Bandar Taibao sebagai sebahagian daripada festival tersebut.

Tanglung utama itu akan menampilkan kesan visual 4D buat julung kalinya, dengan penutup pembiasan khas yang meningkatkan penembusan cahaya sebanyak 70 peratus.

Menurut biro pelancongan lagi, terdapat lebih 20,000 litar yang membolehkan cahaya LED di dalam tanglung tersebut untuk memaparkan imej yang terdiri daripada sekurang-kurangnya 12 juta piksel.

Selain itu, disebabkan daerah selatan tengah yang terletak di Garisan Sartan, tayangan latitud dan longitud di langit turut akan diadakan bagi menjadikan acara tersebut lebih unik, ujar biro tersebut.