TAIWAN HULUR TANGAN SALAM KEPADA RAKYAT  MALAYSIA DAN BRUNEI

– Kempen Salam Taiwan oleh Biro Pelancongan Taiwan mempromosikan aspek mesra Muslim di Taiwan 
– Pelakon terkenal Malaysia Mira Filzah dilantik sebagai duta Salam Taiwan 

Dengan ucapan “Salam!”, Biro Pelancongan Taiwan mengajak rakyat Malaysia dan Brunei untuk menjadikan pulau itu sebagai destinasi percutian mereka seterusnya. Satu kempen baharu bertema “Salam Taiwan” telah dilancarkan secara rasmi hari ini bagi mengenengahkan kemudahan-kemudahan yang ada untuk pelawat Muslim.

Kempen Salam Taiwan menumpu khusus kepada banyak perkara menarik di Taiwan iaitu mesra Muslim, termasuk makanan dan minuman, hotel, bilik solat selesa di kawasan awam serta kosmetik dan penjagaan kulit yang disahkan halal. Terdapat juga aplikasi Tour Taiwan dan Halal-TW bagi menambah kesenangan untuk pelawat Muslim mencari kedai halal, jadual waktu solat, masjid dan bilik solat selain maklumat mengenai pengangkutan dan penginapan. Aplikasi khusus Halal-TW menggunakan bahasa Inggeris, Cina dan Indonesia. Justeru, pelawat Muslim kini boleh menikmati pengalaman Taiwan dengan mudah!

Taiwan adalah sebuah pulau yang dikurniakan dengan kepelbagaian budaya dan lokasi bernilai untuk Instagram dari pasar malam, hinggalah gemerlapan neon kota dan pemandangan alam semula jadi yang indah. Taiwan juga dikenali kerana banyak pilihan makanan dan juadah enak yang sememangnya hanya unik di Taiwan, dan sebilangannya ditawarkan oleh kedai-kedai mesra Muslim. Taiwan memiliki penduduk Islam seramai 300,000 orang dan keperluan harian mereka dibantu oleh tiga buah organisasi iaitu Persatuan Cina Muslim, Pusat Halal Taiwan dan Persatuan Islam Taiwan.

Sejak beberapa tahun ini, Taiwan telah bekerjasama rapat dengan pertubuhan Islam bagi memahami keperluan dan permintaan pelawat Muslim. Tidak hairanlah Taiwan pantas menjadi satu daripada destinasi lebih popular, berada di kedudukan kelima di dalam kategori bukan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di dalam Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) terbaharu.

“Pada 2017, Taiwan menerima lebih daripada 530,000 pelawat dari Malaysia dan Brunei. Daripada bilangan itu, lebih 10% terdiri daripada pelawat Muslim. Walaupun kedatangan pelancong Muslim dari Malaysia dan Brunei telah tumbuh sebanyak 10.71% berbanding 2016, kami percaya ia akan tumbuh lebih lagi. Kami telah memerhati trend pelawat Muslim yang lebih muda yang menyukai destinasi yang memberikan mereka pengalaman terbaik keseluruhannya – dari membeli-belah dan makanan hinggalah taman tema dan aktiviti luar yang menarik dan pemandangan indah. Taiwan memiliki ini semua dan banyak lagi! Di dalam komitmen kami untuk menjadi hab halal dan usaha bersama menjadi destinasi pilihan dalam kalangan pelawat Muslim, kami akan berterusan menambah baik kemudahan kami untuk memenuhi keperluan pelawat Muslim,” kata Cik Anne Hung, Wakil Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia semasa majlis pelancaran kempen tersebut.

Pengarah Pejabat Biro Pelancongan Taiwan di Kuala Lumpur, Encik Abe Chou berkata, “Malaysia memiliki potensi sebagai pasaran utama pelawat Muslim untuk Taiwan. Sebagaimana kita menukar tumpuan dengan mempelawa lebih ramai pelawat Muslim dari Malaysia ke Taiwan, kami mahu mengucapkan ‘SALAM’ kepada semua rakyat Malaysia. Membawa ucapan ikhlas ini adalah kempen baharu Salam Taiwan.”

Salam Taiwan menekankan enam teras yang direka khusus untuk melancarkan perancangan perjalanan bagi orang Islam, iaitu Gaya Hidup dan Kemampanan (LOHAS) yang menggariskan kaedah kehidupan sihat, Pasar Malam terkenal Taiwan, Taman Hiburan, Pemandangan Luar yang memukau termasuk karya agung oleh alam semula jadi, beli-belah dan kebudayaan Islam.

Pada majlis pelancaran itu, Biro Pelancongan Taiwan turut mengumumkan logo khas “Salam Taiwan” yang mengandungi elemen Islam, dan pelantikan artis serba boleh Malaysia, Mira Filzah sebagai duta rasmi Salam Taiwan. Aktres berusia 25 tahun itu, yang telah terlibat di dalam industri hiburan tempatan selama 5 tahun, merupakan inspirasi kepada para peminatnya dengan imej menyeronokkan dan positif beliau. Selain berlakon, Mira juga merupakan seorang pengacara, model dan usahawan hijab jenama sendiri. Beliau memiliki peminat setia bukan sahaja di Malaysia tetapi juga Singapura dan Brunei, dengan pengikut seramai 3 juta di Instagram miliknya.

“Merakam video di Taiwan merupakan kali pertama saya menjejak kaki ke pulau ini. Secara peribadinya, saya tidak terfikir untuk melawat Taiwan sebelum ini, dan tidak terbayang ia boleh meninggalkan kenangan yang berkekalan kepada kawan-kawan saya dan diri saya sendiri. Taiwan sememangnya permata yang tersorok di Asia kerana terdapat begitu banyak perkara menarik untuk diteroka dan lakukan. Seperti yang anda boleh saksikan di dalam video, pemandangan di Taiwan adalah memukau dan saya bertuah kerana dapat melawat tempat-tempat menarik ini. Paling terbaik, makanan halal adalah cukup mudah didapati dan enak! Lawatan ke Taipei Grand Mosque adalah detik mengharukan bagi diri saya secara peribadi. Saya pasti akan kembali ke Taiwan, dan kali ini, saya akan membawa keluarga bersama,” kata Mira semasa majlis tersebut.

Gerai Biro Pelancongan Taiwan (Taiwan Pavillion) pada Pameran MATTA 2018 terletak di Dewan 1 (gerai nombor: 1413-1432) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Pelawat boleh singgah di situ dari 7 September hingga 9 September 2018 antara 10:00 pagi dan 9:00 malam untuk menikmati pelbagai aktiviti interaktif selain meraih pakej percutian menarik. Mira Filzah, duta Salam Taiwan yang baru dilantik akan membuat penampilan khas pada pukul 2:00 petang pada Sabtu, 8 September 2018 bagi berkongsi pengalamannya melawat Taiwan.

Orang ramai boleh menonton video Salam Taiwan yang dibintangi oleh Mira Filzah melalui Youtube rasmi Biro Pelancongan Taiwan, “Taiwan Tourism MY”. Untuk maklumat lanjut mengenai Salam Taiwan, sila lawat laman web rasmi Biro Pelancongan Taiwan https://www.taiwan.net.my/ atau Facebook https://www.facebook.com/TaiwanTourismMY atau telefon 03-2070 6789 dari 9:00 pagi – 5:30 petang.