Memandu dan Menaiki “Basikal Berlandasan” Merentasi Kawasan Tengah Hakka Taiwan

Wilayah Miaoli terletak di antara koridor Keelung-Taipei-Hsinchu yang sangat maju dengan metropolis Taichung yang pesat berkembang (kini ialah kawasan perbandaran Taiwan dengan kedua banyak penduduk). Kepadatan penduduk Miaoli (549,000 orang yang mendiami di kawasan seluas 1,820 km persegi) hanyalah satu perempat daripada Taichung. Sama ada datang dari utara atau selatan, tanggapan pertama anda terhadap Miaoli berkemungkinan besar ialah kecantikan desa. Di kawasan ini, statistik rasmi yang menyatakan bahawa 58% Taiwan diliputi oleh pohon atau hutan buluh tampaknya satu anggaran yang kurang daripada keadaan sebenar.

Disebabkan bandar yang tidak cukup besar, sesetengah orang menganggap kehidupan di Miaoli adalah bosan. Namun, dari kawasan bandar yang disebutkan di atas sampai ke Miaoli adalah cepat dan mudah. Pelancong yang memandu sendiri boleh menggunakan sama ada Lebuh Raya Utara-Selatan Taiwan atau Lebuh Raya Wilayah 61 (Lebuh Raya Pantai Barat) di sepanjang pantai yang merupakan pilihan jalan yang lebih lambat. Anda dapat pergi ke Kampung Sanyi Miaoli melalui Lebuh Raya Wilayah 13, tetapi mereka yang berbasikal mungkin lebih suka Lebuh Raya Wilayah 3 yang dapat menikmati pemandangan indah. Memandangkan Miaoli ialah kawasan berbukit yang terletak di pulau bergunung-ganang, penunggang basikal yang bersiap sedia haruslah mengetahui bahawa jalan raya tersebut jarang sekali lurus atau rata.

Sekiranya berancang untuk bersiar-siar dengan menaiki kereta api, anda boleh mendapatkan maklumat daripada artikel saya dalam Pelancongan di Taiwan (Travel in Taiwan) isu bulan Mac/April 2017 terdahulu. Kali ini, penyelidikan perjalanan saya juga dimulai dengan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (Taiwan High Speed Rail, THSR) ke Miaoli. Di stesen THSR, saya bertemu dengan rakan perjalanan saya. Kami memandu dan menghala ke selatan untuk pergi ke Stesen Kereta Api Shengxing di Sanyi, yang terkenal dengan pengukir kayu yang berbakat dan Muzium Patung Kayu Sanyi.

Kampung Shengxing yang indah terdapat salah satu stesen kereta api yang terkenal di Taiwan, dan apa yang menghairankan ialah kereta api yang melalui stesen itu telah menghentikan perkhidmatan membawa penumpang lebih daripada 20 tahun yang lalu. Dari tahun 1903 hingga tahun 1998, kereta api tempatan, kereta api ekspres dan kereta api pengangkut merentas Sungai Da’an ke kawasan Taichung yang lebih besar melalui Laluan Bukit Lama. Dengan ketinggian sebanyak 402.36m, Stesen Kereta Api Shengxing merupakan stesen tertinggi dari aras laut di rangkaian kereta api konvensional Taiwan. Stesen ini ialah bangunan rumah kayu bergaya kotej yang dibina pada tahun 1930 dan sangat fotogenik.

Selepas penggantian Laluan Bukit Lama yang lebih pendek dan lurus siap dibinakan, landasan yang sepanjang 15.9km bersama 8 buah terowong dan 3 batang jambatan telah dilupuskan. Stesen Shengxing ditutup tetapi tidak pernah dilupakan. Sejak tahun lepas, pelancong-pelancong telah mempunyai sebab baru untuk mengunjung ke sini.

Keseronokan Menaiki “Basikal Berlandasan” di Sanyi

Menaiki “Basikal Berlandasan” di Landasan Laluan Bukit Lama menawarkan pengalaman sepanjang 90 minit yang luar biasa, iaitu menikmati pemandangan indah sepanjang landasan kereta api pada kelajuan berbasikal tanpa memijak pedal. Anda harus membuat tempahan terdahulu melalui www.oml-railbike.com kerana para penumpang berangkat secara berkumpulan sebanyak empat kali sehari. Apa yang penting, anda mesti tiba sekurang-kurangnya 45 minit sebelum waktu bertolak untuk mengutip tiket anda (NT $ 280 seorang), kemudian melaporkan diri di platform 20 minit sebelum menaiki “basikal berlandasan”. Namun, masa akan berlalu dengan cepat kerana anda sibuk mengambil gambar stesen dan persekitarannya.

Sebenarnya, “basikal berlandasan” merupakan gelaran yang tidak begitu tepat. Hal ini demikian adalah kerana saiz setiap kenderaan lebih kurang sama dengan kereta golf, mempunyai empat roda kereta api, serta berjalan di atas landasan kereta api yang tidak diubah suai. Setiap “basikal” mempunyai emapat tempat duduk dan berkanopi untuk melindungi penumpang daripada cahaya matahari dan hujan.

Saya kagum dengan bilangan kakitangan yang bertugas dan ketekunan mereka. Tali pinggang keselamatan mesti diikat. Sebelum memulakan perjalanan sejauh 6km dari stesen kereta api ke Terowong No. 6, setiap “pemandu”, iaitu saya yang duduk di bahagian “lokomotif”, telah ditunjukkan cara untuk memulakan motor elektrik, melepaskan brek tangan dan meningkatkan kelajuan. Anda boleh melakukannya jika pernah menaiki mana-mana skuter yang senang dijumpai di Taiwan. Kenderaan ini jauh lebih mudah dikawal daripada skuter. Anda tidak perlu memandu, dan kelajuannya telah ditetapkan supaya tidak melebihi 12 km/j.

Kami diarahkan untuk menjauhi dari stesen itu secara berkala. Ini merupakan idea yang baik untuk meninggalkan sedikit ruang antara setiap “basikal berlandasan” kerana pemandu sering tertarik oleh pemandangan dan memperlahankan kelajuan. Hampir dengan serta-merta, kami menuju ke terowong sepanjang 725m di selatan stesen itu lalu mengganggu kelawar yang bertenggek di dalamnya. Keadaan di bawah terowong tidak begitu gelap kerana imej bangunan-bangunan di kawasan stesen dan tempat-tempat menarik terkenal lain yang berkaitan dengan Laluan Bukit Lama telah ditayangkan pada dinding terowong.

Keluar dari terowong dan kembali ke bawah sinaran matahari pada musim sejuk, kami telah melalui taman pinang, taman strawberi dan hutan pokok Tung. Pokok Tung telah menjadi simbol orang Hakka yang mendiami kawasan Taiwan ini. Kayu pokok Tung digemari oleh pengukir kayu di bandar Sanyi. Minyak yang diperbuat daripada benihnya mempunyai pelbagai kegunaan. Festival Bunga Tung Hakka yang diadakan pada setiap musim bunga merupakan perayaan penting di bahagian barat laut dan kawasan lain di pulau itu yang terdapat pokok Tung.

Kebanyakan laluan ialah landasan tunggal, dan tidak lama lagi kami telah menyeberangi sebuah jambatan sempit yang terdapat anak sungai kecil di bawah jambatan. Melihat ke kiri, kami menikmati pemandangan indah yang merupakan salah satu pemandangan Miaoli yang memukau, Jambatan Longteng, yang juga dikenali sebagai Jambatan Yutengping.

Pada 21 April 1935, bencana tektonik terburuk dalam sejarah Taiwan telah berlaku dan membunuh 3,422 orang. Pada masa itu, setiap gerbang batu jambatan dan kekuda keluli pusat telah runtuh. Daripada membersihkan runtuhan dan membina semula, pihak berkuasa memutuskan untuk mengalihkan landasan kereta api berjarak pendek ke barat. Runtuhan kolumnar jambatan yang hancur masih tegak berdiri dianggap sebagai monumen yang mengagumkan hasilan kuasa alam.

Kami diarahkan untuk memarkir “basikal berlandasan” kami di suatu tempat di landasan yang penumpang dapat melihat ke bawah dan nampak Sekolah Rendah Liyu. Lihat ke barat, kami dapat melihat Gunung Huoyan yang terletak di pesisir Selat Taiwan. Permukaannya yang tandus dan berpasir jarang dijumpai di tropika Taiwan yang subur.

Semua orang kemudian berjalan kaki melalui Terowong No. 6 ke Jambatan Besi Neishechuan. Jambatan itu dilarang masuk, tetapi dari hujung utara jambatan, anda boleh menikmati pemandangan Takungan Air Liyutan. Selepas mengetahui tentang tempat ini dan sejarah landasan kereta api, kami kembali ke Shengxing.

Jika anda tidak ingin mendaftar untuk menaiki “basikal berlandasan” dan ingin berkunjung bahagian Laluan Bukit Lama itu, anda boleh sampai ke jambatan besi melalui Jalan Wilayah 52. Anak tangga menghubungkan jalan raya itu dengan hujung selatan terowong. Tiada apa-apa yang menghalang anda pergi ke utara melalui terowong, tetapi anda dinasihati untuk membawa lampu suluh.

Di antara Shengxing dengan Beipu

Shengxing mungkin merupakan kampung di kawasan bukit Hakka yang tipikal, sementara Beipu bersebelahan dengan Wilayah Hsinchu ialah bandar Hakka yang tipikal. Sekurang-kurangnya satu jam setengah diperlukan untuk memandu dari satu tempat ke tempat lain, tetapi ini ialah perjalanan yang akan melalui pemandangan yang menakjubkan dengan tarikan seperti Bandar Dahu dan Takungan Air Mingde.

Untuk sampai ke Dahu dari Perbandaran Sanyi, ambillah Jalan Wilayah 130 yang berliku-liku dan indah pemandangannya. Jalan ini sambung ke Lebuh Raya Wilayah 3. Sekiranya anda bertanya kepada seseorang Taiwan tentang apa yang membuatkan Dahu terkenal, dia pasti akan menjawab “strawberi.” Terdapat kebun yang menyediakan perkhidmatan petik sendiri di sepanjang dan berhampiran dengan lebuh raya. Kedai-kedai di bandar pula menjual jem, wain dan produk-produk lain yang diperbuat daripada buah-buahan khusus di perbandaran itu.

Takungan Air Mingde terletak di perbandaran Touwu, kira-kira 28 kilometer dari utara Dahu. Tasik buatan manusia yang indah ini meliputi 170 hektar. Anda boleh memandu di sekitar takungan (mengambil Jalan Wilayah 126 untuk sampai ke takungan dari Lebuh Raya 3). Seperti yang anda jangkakan, terdapat kedai-kedai kopi dan tempat meninjau untuk menikmati pemandangan sebelum meneruskan perjalanan ke utara.

Jika bot anda benar-benar terapung di atas air, tinggalkan Lebuh Raya 3 kira-kira 11 km sebelum Beipu dan menuju ke Takungan Air Dapu di Perbandaran Emei, wilayah Hsinchu. Bangunan-bangunan besar di semenanjung ini dimiliki oleh Alam Ajaib yang Menyayangi Alam Semula Jadi (Nature Loving Wonderland) (www.naturelovingwonderland.org). Kompleks Buddha di situ mempunyai patung gangsa Maitreya Buddha yang tertinggi di dunia. Peraturan lawatan agak rumit, jadi buat semakan atas talian terlebih dahulu jika anda ingin mengunjungi ke situ.

Untuk jalan lencong yang lebih panjang, ikutlah Lebuh Raya 3 ke pekan kecil Shitan yang merupakan pusat kawasan perbandaran Shitan. Kemudian, belok ke Jalan Wilayah 124. Jalan tersebut akan membawa anda melalui kawasan berbukit yang dihuni oleh orang Hakka, Hoklo dan orang asli. Selepas melalui tempat-tempat menarik ekologi termasuk Taman Semula Jadi Anak Sungai Penglai, anda akan memasuki kampung Nanzhuang. Bagi pelancong yang ingin mengelakkan masalah yang akan dihadapi semasa memandu, mereka dapat menikmati dua daya tarikan Nanzhuang.

Salah satunya ialah pengiktirafan oleh Cittaslow, iaitu perikatan “pekan/bandar perlahan” yang berpusat di Itali sebagai sebuah tempat yang (dipetik daripada laman web organisasi tersebut, www.cittaslow.org) “menghormati kesihatan rakyat, mempunyai kesahihan produk dan makanan yang baik, (serta) tradisi kraf menarik.”

Tarikan yang lain ialah rangkaian bas yang baik. Perkhidmatan Bas Bandar Hsinchu-Nanzhuang mengambil masa satu jam lebih, dan pas satu hari (NT$150) bagi perkhidmatan Bas Ulang-alik Taiwan di kawasan itu membolehkan anda menziarahi tempat-tempat menarik seperti kampung orang asli di Tasik Xiangtian dan tapak keagamaan Gunung Kepala Singa. Untuk maklumat lanjut tentang perkhidmatan bas, sila layari www.taiwantrip.com.tw.