Panduan MICHELIN Taipei & Taichung 2021: 8 Restoran Baharu Dianugerahkan Bintang MICHELIN dan Bintang Hijau MICHELIN Dianugerahkan Buat Kali Pertama kepada Komitmen Gastronomi Lestari yang Cemerlang


Michelin1

Di Taipei, satu restoran 2Bintang baharu dan lima restoran 1 Bintang baharu menyertai pilihan, bersama dengan dua restoran 1 Bintang baharu di Taichung, dan MICHELIN Bintang Hijau pertama kali diberikan kepada dua restoran.


#MICHELINGUIDETW  #MICHELINSTAR21


Michelin dengan suka hati membentangkan senarai penuh restoran dalam Panduan MICHELIN Taipei & Taichung edisi 2021, bersama dengan sorotan Bib Gourmand dan Pinggan MICHELIN. Dalam edisi terkini ini, sebanyak 177 tempat di Taipei dan 69 tempat di Taichung telah dipilih oleh pemeriksa MICHELIN.


“Tahun ini adalah luar biasa bagi semua orang, terutamanya untuk industri makanan. Walaupun menghadapi pelbagai cabaran, cef-cef dan restoran-restoran di Taipei dan Taichung tidak pernah berhenti menarik perhatian pasukan kami. Dengan membayangkan konsep baharu, melancarkan inisiatif baharu, serta mewujudkan cara untuk menjaga hubungan dengan pengunjung mereka, kedua-dua buah kota tersebut telah menunjukkan ketangkasan, ketahanan dan kreativiti. Kedua-dua destinasi ini juga berjaya mengekalkan kemahiran masakan mereka pada tahap tertinggi. Kami berasa amat bangga, maka dengan edisi 2021 ini, kami menonjolkan dan memberikan penghormatan kepada bakat mereka sambil melancarkan permata gastronomi baharu,” kata Gwendal Poullennec, Pengarah Antarabangsa Panduan MICHELIN. “Saya juga sangat gembira kerana Bintang Hijau MICHELIN dimasukkan ke Panduan MICHELIN Taipei & Taichung, menonjolkan komitmen lestari dua restoran perintis. Semoga perbezaan ini mendorong dan memberikan inspirasi bukan hanya restoran lain, tetapi juga setiap gourmet yang berminat.”


L’Atelier de Joël Robuchon, dianugerahkan 1 Bintang MICHELIN sejak tiga tahun kebelakangan, telah dinaikkan pangkat menjadi 2 Bintang MICHELIN tahun ini. Cef Florence Dalia yang telah menerajui dapur sejak 2019, merupakan ketua cef wanita pertama di pangkalan kumpulan Asia. Dia menambahkan sentuhan halus pada masakan khas restoran dan mencipta semula klasik Perancis dengan mahir, teliti dan amat berkeyakinan.


Dalam pilihan tahun 2021, terdapat 7 restoran 2 Bintang MICHELIN di Taipei, termasuklah Logy, RAW, Shoun RyuGin, Sushi Amamoto, Taïrroir dan The Guest House, yang semuanya mengekalkan 2 Bintang MICHELIN.


5 Restoran Baharu di Taipei yang Pertama Kali Menerima Bintang Michelin


Michelin2

De Nuit bermaksud “Waktu Malam” dalam bahasa Perancis. Dekorasi De Nuit dilengkapi begitu sesuai sekali dengan namanya. Di samping menghormati tradisi Perancis dan mengambil kira ramuan musim, pasukan dapur muda De Nuit juga melapisi tekstur dan rasa setiap hidangan.


Masakan Taiwan & Champagne Pokok Fujin (Songshan) menggabungkan imaginasi baharu masakan kegemaran Taiwan dengan Champagne Perancis, dengan harapan mencipta pengalaman masakan Taiwan yang berbeza.


T+T, yang namanya merupakan singkatan daripada “Tapas Tasting” (Pencubaan Tapas), memberikan karya kreatif untuk tapas Sepanyol. Pinggan-pinggan kecil T+T berakar umbi gaya Asia yang kuat, dan senarai wain eklektiknya amat menarik.


Restoran Taiwan Mipon mengkhususkan dalam masakan Taiwan bergaya rumah yang halus, memintal perincian yang rumit dan moden. Di Mudan, bahan-bahan bermusim dari Taiwan dan Jepun dilapisi dengan adunan halus dan digoreng hingga sempurna. Mipon dan Mudan sama-sama dipromosikan ke peringkat 1 Bintang dari kecemerlangan Pinggan MICHELIN sebelum ini.


Dengan penambahan baharu ini, Taipei mempunyai sejumlah 21 buah restoran 1 Bintang MICHELIN.


Restoran Kantonis Le Palais mempertahankan kedudukannya sebagai satu-satunya restoran 3 Bintang di Taipei dan Taichung. Secara keseluruhan, Panduan MICHELIN Taipei & Taichung edisi 2021 mengiktiraf 29 buah restoran berbintang MICHELIN di Taipei.


Selain enam restoran yang baharu dibintangi, terdapat 14 buah restoran di Taipei yang baharu memasuki senarai dengan anugerah Pinggan MICHELIN. Restoran-restoran ini merangkumi pelbagai jenis masakan, daripada Eropah kontemporari (CEO 1950), inovatif (Embers, Holt, dan MU), Itali (Artbrosia), Perancis (Bistro le Jardin), Taiwan (44 SV dan Sinchao Rice Shoppe) kepada Jepun (Tsuki Yo Iwa dan Uke); serta pelbagai gaya yang merangkumi yakiniku (Baho), stik (Fresh & Aged), sushi (Shan Chiu) dan vegetarian (Yangming Spring Shilin). Senarai ini membuktikan bahawa Taipei memang merupakan pusat gastronomi yang dinamik dan menarik serta menghimpunkan bakat masakan dari seluruh dunia.


Taichung: 2 Restoran 1 Bintang Baharu


Pada tahun kedua pemilihan untuk bandar Taichung, Oretachi No Nikuya sekali lagi diiktiraf 1 Bintang MICHELIN. Restoran ini telah berpindah ke tempat baharu yang hanya berjarak 15 langkah dari tempat asal pada akhir bulan Mac. Penganugerahan MICHELIN ialah pengiktirafan bahawa restoran yakiniku ini selalu mengekalkan standard tinggi dalam menghidangkan potongan daging lembu Hida yang berharga dan lembu baka yang jarang bersama dengan menu rahsia untuk orang yang mengetahuinya.


Daripada berbintang Pinggan MICHELIN, Sur dinaikkan kepada pengiktirafan restoran 1 Bintang. Restoran ini terkenal kerana pemilik cef muda yang bervisi untuk menaik taraf bahan-bahan harian Taiwan kepada masakan mewah dengan teknik moden. Lebih-lebih lagi, Sur menawarkan set makanan dengan harga tetap yang berubah menurut musim.


Selain Oretachi No Nikuya dan Sur, Fleur de Sel dan Forchetta sama-sama mengekalkan 1 Bintang MICHELIN, menjadikan kesemuanya empat buah restoran 1 Bintang di Taichung. Sementara itu, JL Studio meneruskan kecemerlangannya sebagai sebuah restoran dengan 2 Bintang MICHELIN di Taichung.


Selain restoran bertaraf bintang, dua buah restoran yang baharu di Taichung juga diiktiraf dengan kecemerlangan Pinggan MICHELIN. Sushi Ron menawarkan dua menu omakase di rumah agam bergaya Jepun yang bersejarah sementara Yakitori & Wine menawarkan hidangan edisi terhad ayam tempatan berbaka Gui Ding dan Sasso yang jarang. Terdapat sejumlah 31 buah restoran di Taichung diiktiraf Pinggan MICHELIN pada tahun 2021.


Pertama Kali di Taipei: 2 Restoran Dianugerahkan dengan Bintang Hijau MICHELIN


Dua buah restoran di Taipei, iaitu restoran Mountain and Sea House yang diiktiraf 1 Bintang dan restoran Yangming Spring (Shilin) yang baru dipilih sebagai cadangan Pinggan MICHELIN, juga dianugerahkan Bintang Hijau MICHELIN kerana dedikasi dan komitmen terhadap masakan lestari pada tahun ini.


Bintang Hijau MICHELIN dianugerahkan kepada restoran dalam pemilihan Panduan MICHELIN, yang berada di barisan hadapan dengan amalan lestari yang terpuji. Restoran-restoran tersebut memberikan pengalaman gourmet yang mengabungkan keunggulan gastronomi dan mesra alam kepada pelanggan mereka. Pengalaman di restoran-restoran tersebut menjadi sumber inspirasi kepada semua penggemar makanan dan seluruh industri.


“Dari ladang ke meja” merupakan konsep teras restoran Mountain and Sea House. Kebijaksanaan ini berasaskan kepercayaan bahawa produk tempatan ialah kunci untuk membuat hidangan yang lazat. Selain menanam sayur-sayuran secara organik, daging dan makanan laut yang berkualiti tinggi untuk dihidangkan hanya diperoleh daripada petani dan nelayan yang mengamalkan kaedah pengeluaran lestari.


Yangming Spring (Shilin) percaya bahawa vegetarianisme ialah amalan makanan dan gaya hidup yang menghormati alam sekitar. Restoran ini menerapkan konsep falsafah “menghargai makanan” dan mengamalkan tabiat lestari seperti mengitar semula untuk mengurangkan sampah. Mereka juga berharap dapat mempromosikan konsep ini dengan menerbitkan buku, mengadakan ceramah dan mengendalikan kedai runcit berkonsep.


Anugerah Cef Muda MICHELIN dan Anugerah Perkhidmatan MICHELIN pertama


Cef Yi Hua LIN林佾華dari Sur di Taichung merupakan pemenang Anugerah Cef Muda MICHELIN tahun ini. Beliau dilahirkan pada tahun 1991, dan telah menamatkan pengajian di universiti profesional dalam bidang kulinari di Taiwan. Beliau juga mahir dalam perancangan menu yang dapat mentafsirkan semula kebiasaan masakan tempatan setiap musim. Dengan menggabungkan kehidupan seharian dengan pengalaman waktu kecilnya, beliau menggunakan bahan-bahan tempatan yang biasa untuk menunjukkan dan mentafsirkan semula budaya kulinari Taiwan.


Panduan MICHELIN Taipei & Taichung 2021 juga merangkumi anugerah baharu, iaitu Anugerah Perkidmatan MICHELIN yang bertujuan untuk menonjolkan kemahiran dan bakat peserta dalam industri ini. Pemenang untuk tahun ini ialah Jennifer, Wan Chen Ou 歐宛臻dari Le Palais di Taipei. Dengan hampir 10 tahun pengalaman di Le Palais, beliau bersemangat dalam kerjayanya. Beliau memberikan layanan yang sempurna dengan sikap yang professional dan bertimbang rasa, serta senyuman yang manis. Hal ini telah menjadikan keseluruhan perkhidmatan makan dan minum tidak dapat dilupakan.


Lokasi Bib Gourmand dan Pinggan MICHELIN di Taipei


Dua minggu yang lalu, Panduan MICHELIN Taipei & Taichung 2021 juga mengumumkan pilihan Bib Gourmand tahunan. Sebanyak 68 buah restoran di Taipei dan Taichung menjadi perhatian kerana memberikan para pelanggan pengalaman gourmet yang berbaloi. Ini bermakna para pelanggan dapat menikmati tiga hidangan yang berkualiti tinggi (tidak termasuk minuman) dengan harga kurang daripada 1,000 Dolar Baharu Taiwan di Taipei dan Taichung.


Selain itu, Panduan MICHELIN Taipei & Taichung 2021 tertumpu pada 33 makanan jalanan di pasar malam ikonik Taipei seperti Ningxia, Raohe, Shilin, Jalan Linjiang, Gongguan, Jingmei, Yansan dan Jalan Huaxi. Antaranya ialah 23 cadangan Bib Gourmand, dan 10 daripadanya telah dianugerahkan Pinggan MICHELIN.


Panduan MICHELIN Diperluas ke Dua Bandar Baharu


Michelin3

MICHELIN juga mengumumkan hari ini bahawa pemilihan untuk panduan akan diperluas untuk merangkumi bandar Tainan dan Kaohsiung dalam edisi 2022. Sebagai kota budaya, Tainan terkenal dengan pelbagai hidangan kecil dan hidangan makanan laut. Kedai-kedai sederhana dan gerai-gerai yang dikendalikan oleh pemilik generasi ketiga dan keempat sentiasa kelihatan pelanggan yang beratur panjang kerana tarikan makanan tempatan mereka.


Sebagai bandar pelabuhan dan perindustrian antarabangsa, Kaohsiung merupakan pentas yang sempurna untuk gabungan dan evolusi pelbagai etnik dan budaya kulinari. Antaranya ialah makanan Hokkien, Hakka, orang asli, kampung tentera veteran dan sebagainya. Makanan tersebut telah menghasilkan pelbagai masakan yang unik, lazat dan berwarna-warni. Industri pertanian dan perikanan yang maju serta penggunaan bahan-bahan asli yang berharga dari darat dan laut secara inovatif di bandar ini telah menjadi tulang belakang tradisi gastronomi Kaohsiung, serta menjadikan bandar ini sebagai tarikan para penggemar makanan yang arif.


Taipei

1 restoran yang diiktiraf 3 bintang MICHELIN 

7 restoran yang diiktiraf 2 bintang MICHELIN (termasuk 1 restoran yang dinaikkan taraf)

21 restoran yang diiktiraf 1 bintang MICHELIN (termasuk 3 restoran yang baru dilantik dan 2 restoran yang dinaikkan taraf)

35 restoran Bib Gourmand (termasuk 6 restoran yang baru dilantik)

80 restoran Pinggan MICHELIN (termasuk 14 restoran yang baru dilantik)

23 gerai makanan jalanan Bib Gourmand

10 gerai makanan jalanan Pinggan MICHELIN


Taichung

1 restoran yang diiktiraf 2 bintang MICHELIN

4 restoran yang diiktiraf 1 bintang MICHELIN (termasuk 1 restoran yang baru dilantik dan 1 restoran yang dinaikkan taraf)

33 restoran Bib Gourmand (termasuk 13 restoran yang baru dilantik)

31 restoran Pinggan MICHELIN (termasuk 2 restoran yang baru dilantik)


Untuk senarai lengkap Panduan MICHELIN Taipei & Taichung 2021 dan berita Panduan MICHELIN terkini, layari laman web rasmi Panduan MICHELIN: https://guide.michelin.com/