Berikutan dengan cuaca yang semakin sejuk, menikmati mandian di mata air panas merupakan perkara yang mesti dilakukan pada musim sejuk di Taiwan! Taiwan dikenali sebagai “Alam Mata Air Panas” dan merupakan salah satu daripada 15 destinasi mata air panas teratas di dunia. Terdapat lebih daripada 100 mata air panas dan terletak di kawasan berlainan di Taiwan. Sebenarnya, mata air panas bukan hanya membantu mengurangkan tekanan, tetapi juga mendatangkan manfaat kesihatan kepada kita. Mata air panas yang disenaraikan di bawah merupakan lima mata air panas Taiwan yang terbaik!


1. Mata Air Panas Beitou, Taipei

Beitou merupakan tempat pertama yang terlintas dalam fikiran kita ketika menyebut Mata Air Panas Taiwan! Mata air panas ini merupakan salah satu kawasan yang mudah diakses kerana jarak perjalanan dari pusat bandar ke situ singkat dengan MRT. Terdapat tiga jenis mata air panas, iaitu Sulfur Hijau, Sulfur Merah (Ferum) dan Sulfur Putih. Lokasi mata air panas yang paling popular di Beitou ialah Mata Air Panas Awam Beitou. Pengunjung dikehendaki memakai pakaian renang dan topi renang yang sesuai untuk menikmati keselesaan di mata air panas. Walau bagaimanapun, jika anda lebih suka mata air panas peribadi, carilah hotel resort yang mempunyai mata air panas di kawasan berhampiran.

Jenis Mata Air: Sulfur Hijau, Sulfur Merah (Ferum) dan Sulfur Putih

Tarikan berhampiran: Perpustakaan Awam Taipei di Beitou, Muzium Mata Air Panas Beitou


2. Mata Air Panas Jiaoxi, Taipei – Yilan

Mata Air Panas Jiaoxi merupakan mata air natrium bikarbonat yang kaya dengan mineral dan sangat memanfaatkan kesihatan kita. Mata air panas bukan sahaja digunakan untuk mandian, tetapi juga boleh dijadikan minuman air mineral dan sayur-sayuran sumber air panas yang unik. Mata air panas dikenali sebagai “losen semula jadi” oleh penduduk tempatan kerana kulit akan menjadi licin dan lembut setelah mandi di mata air panas. Selain itu, Mata Air Panas Jiaoxi juga terkenal sebagai salah satu daripada lapan tempat pemandangan terkenal di Taiwan.

Jenis Mata Air: Mata air natrium bikarbonat

Tarikan berhampiran: Air Terjun Wufengchi, Taman Mata Air Panas Jiaoxi, Taman Ekologi Majiao


3. Mata Air Panas Yangmingshan (Taipei)

Mata Air Panas Yangmingshan terletak di zon gunung berapi Datun dan kaya dengan sumber mata air panas. Mata air panas utamanya ialah Sulfur Putih dan Sulfur Hijau. Mata air panas ini menjadi destinasi yang ideal untuk percutian kerana pemandangan alam semula jadi Yangmingshan yang indah! Lebih-lebih lagi, terdapat banyak hotel resort mata air panas di sekitarnya yang kaya dengan pemandangan semula jadi dan wajar dikunjungi!

Jenis Mata Air: Sulfur Putih dan Sulfur Hijau

Tarikan berhampiran: Tasik Buluh, Denai Padang Rumput Qingtiangang


4. Mata Air Panas Zhiben (Jhihben), Taitung

Sejarah Mata Air Panas Zhiben di Taitung lebih daripada 100 tahun sejak zaman penjajahan Jepun. Destinasi ini terkenal sebagai “pemandangan paling hebat di timur Taiwan” dan merupakan perkampungan mata air panas yang paling komprehensif di Taiwan. Jenis Mata Air Panas Zhiben ialah mata air natrium bikarbonat yang berkualiti tinggi sehinga suhu air dapat mencapai 100 darjah Celsius. Mata air panas ini mempunyai manfaat pemutihan, pelembab, dan peredaran darah. Selain itu, jangan terlepas untuk menikmati pemandangan serta pergunungan yang indah ketika melancong ke Timur Taiwan.

Jenis Mata Air: Natrium bikarbonat

Tarikan berhampiran: Kawasan Rekreasi Hutan Negara Zhiben, Air Terjun Baiyu


5. Mata Air Panas Guanziling, Tainan

Mata Air Panas Guanziling pastinya merupakan mata air panas yang tidak boleh terlepas. Guanziling merupakan satu-satunya mata air panas lumpur yang sangat jarang di Taiwan bahkan di dunia. Mata Air Panas Guanziling merupakan salah satu daripada empat mata air terkenal di Taiwan dan dikenali sebagai “mata air panas hitam”. Mata air panas ini mengandungi mendapan lempung dan kaya dengan mineral yang terbentuk daripada batuan bawah tanah. Manfaatnya termasuk mengurangkan keradangan, menghilangkan keletihan dan mencantikkan wajah. Lumpurnya bukan sahaja menghaluskan kulit, tetapi juga merupakan mata air kecantikan semula jadi yang sangat baik.

Jenis Mata Air: Mendapan lempung

Tarikan berhampiran: Gua air dan api, Kuil Biyun