Dengan gabungan sistem penyewaan basikal dan laluan basikal khusus yang tersedia di bandar-bandar utara dan sepanjang pesisir baratnya, Taiwan menjadi syurga bagi penunggang basikal bandar. Laluan basikal yang telah dirancang dengan teliti menghubungkan hab pengangkutan awam, ruang hijau dan tarikan pelancongan. Jadi, pelancong boleh melancong di pulau ini dengan cara baru.


YouBike (www.youbike.com.tw) dilancarkan di Daerah Xinyi yang mewah di Bandar Taipei dengan hanya 11 buah stesen dan 500 buah basikal sebagai program percubaan pada tahun 2009. Basikalnya yang popular selama bertahun-tahun telah memberikan pilihan yang mesra alam dan sihat untuk penunggang dan membuka peluang perjalanan baru kepada para pelancong. Basikal yang berwarna oren dan kuning kini menjadi elemen yang penting dalam pemandangan jalanan Taipei, walaupun basikal versi 2.0 yang baru dilancarkan ialah warna putih mutiara dan kuning. Bandar Taipei Baru, Taoyuan, Hsinchu, Miaoli, Taichung, Changhua dan Kaohsiung menggunakan sistem YouBike.


Tainan, Kota Pingtung dan Kinmen masing-masing mengendalikan sistem mereka sendiri, iaitu T-Bike (tbike.tainan.gov.tw), Pbike (pbike.pthg.gov.tw) dan K-Bike (www.qbike.com.tw).


Semua sistem penyewaan basikal Taiwan menerima pembayaran melalui EasyCard (www.easycard.com.tw) kecuali Pbike yang hanya menerima pembayaran melalui kad iPass (www.i-pass.com.tw). Kedua-dua jenis kad ini boleh digunakan untuk hampir semua pengangkutan awam, dan boleh didapati di mana-mana kedai serbaneka. Sistem ini juga menerima kad kredit untuk penyewaan sekali sahaja, tetapi jika anda tinggal selama beberapa hari di Taiwan, dicadangkan untuk membeli EasyCard kerana kad ini juga berfungsi sebagai dompet elektronik.


Semua sistem penyewaan agak serupa, yakni pendaftaran diselesaikan di kios di setiap stesen. Kemudian pengguna boleh mula menyewa basikal tanpa lama menunggu. Pendaftaran juga dapat dilakukan dalam talian dan aplikasi telefon pintar. Prosedur penyewaan sedikit berbeza antara sistem, tetapi kebanyakannya harus meletakkan kad di pembaca kad di dok atau kios. Pastikan untuk memeriksa tayar, tempat duduk, brek dan lampu sebelum menggunakan basikal kerana basikal-basikal ini telah digunakan berkali-kali. Anda harus menunggu 15 minit setelah mengembalikan sebuah basikal sebelum menyewa basikal yang baru.


Harga yang sangat berpatutan merupakan kebaikan utama sistem penyewaan basikal ini. Penyewaan YouBike berharga NT$10/RM1.50 setiap 30 minit dalam empat jam pertama. Pbike pula percuma untuk setengah jam yang pertama. Sistem K-Bike lebih murah dengan menawarkan penyewaan basikal secara percuma untuk jam pertama.