Perkara yang Perlu Dilakukan Semasa Lawatan ke Utara Taiwan

Keelung

Bandar Keelung ialah sebuah bandar pelabuhan yang terdiri daripada golongan kolar biru. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bandar Keelung telah menerima pemodenan yang ketara, terutamanya stesen kereta api baru yang berdekatan dengan pelabuhan dan pusat beli-belah yang berhampiran dengan jeti kapal layar. Bagi penggemar makanan, tempat yang wajib dilawati untuk merasai makanan tempatan popular ialah Pasar Malam Miaokou. Penjaja-penjaja mulai berniaga di sini pada waktu petang.

Pengangkutan: Pasar malam terletak di Ren 3rd Rd., 15 minit berjalan kaki dari jeti kapal layar.

Jiufen

Jika anda bertolak ke Timur dari Keelung, terdapat sebuah pekan yang terletak di rabung gunung dan menghadap laut. Tempat ini merupakan salah satu tarikan yang digemari oleh para pelancong, yakni Pekan Jiufen. Bekas pusat bijih emas ini terkenal dengan Jalan Lama (Old Street) yang sempit dan pemandangan laut yang indah, terutamanya ketika matahari terbenam.

Pengangkutan: Menaiki teksi atau bas No. 788 (Perhentian bas terletak di Zhong 1st Rd., bertentangan dengan Plaza Lautan (Ocean Plaza) di tepi pelabuhan).

Pulau Heping

Kawasan Pantai Timur dan Pantai Timur Laut Taiwan tersohor dengan pembentukan batu-batan yang mempesonakan. Dengan hanya menaiki teksi atau bas, para pelancong boleh sampai ke Pulau Heping, iaitu lokasi yang paling dekat dengan pelabuhan. Di sini, pelancong-pelancong berpeluang menghayati pembentukan batu-batan indah yang merupakan hasil ukiran oleh angin dan air.

Pengangkutan: Menaiki teksi atau bas No. T99 (Laluan Timur Bas Ulang-alik Keelung) dalam Rangkaian Perkhidmatan Ulang-alik Pelancong Taiwan. Perhentian bas terletak di depan Pusat Pelancongan Keelung yang berhampiran bangunan Stesen Kereta Api Keelung lama.

Pingxi

Lembah Pingxi ialah kawasan pedalaman Tenggara Keelung yang boleh dicapai dengan menaiki bas dan kereta api. Terdapat banyak pekan kecil dan kampung lama di lembah ini. Lembah ini juga bekas pusat perlombongan dan dikelilingi oleh gunung-ganang menghijau. Tarikan yang paling indah ialah Air Terjun Shifen. Berjalan kaki 15 minit dari Stesen Kereta Api Shifen, anda akan tiba di air terjun ini.

Pengangkutan: Menaiki teksi atau bas No. 788 ke Stesen Kereta Api Ruifang, kemudian menukar kereta api dan menuju ke Pekan Jingtong (Stesen terminal bagi Laluan Cabang Pingxi). Ataupun, menaiki bas No. 791 ke Stesen Kereta Api Badouzi dan menaiki kereta api menuju ke Jingtong.

Taman Geologi Yehliu

Menyusuri pantai barat laut Keelung, anda akan sampai ke salah satu tarikan pelancong hangat, yakni Taman Geologi Yehliu. Taman Geologi Yehliu merupakan sebuah alam ajaib yang terkenal dengan patung-patung batu semula jadi. Kepala Ratu ialah patung batu yang paling ikonik. Jika anda ingin mencuba makanan laut yang segar, Pelabuhan Perikanan Guihou yang berhampiran merupakan cadangan yang sangat baik.

Pengangkutan: Menaiki teksi atau bas No. T99 (Laluan Barat Timur Bas Ulang-alik Keelung) dalam Rangkaian Perkhidmatan Ulang-alik Pelancong Taiwan dari Pusat Pelancongan Keelung.

Taipei 

Jika anda sangat berminat untuk mengenali ibu negara Taiwan, dari Keelung ke Stesen Utama Taipei dengan kereta api hanya mengambil masa 50 minit. Anda boleh sampai di tarikan-tarikan seperti Taipei 101, Dewan Peringatan Chiang Kai-Shek, Kuil Longshan, dan Muzium Istana Negara (perlu menaiki bas jarak pendek) dalam masa yang singkat dengan Metro Taipei. Di luar Stesen Utama Taipei, iaitu Zhongxiao West Road, anda juga akan menemui perhentian bas untuk Bas Persiaran Taipei. Ini merupakan perkhidmatan yang membawa anda mengalami lawatan cepat di sekitar pusat bandar Taipei (terdapat dua laluan yang berbeza).

Pengangkutan: Menaiki Kereta Api Tempatan dari Stesen Kereta Api Keelung ke Stesen Utama Taipei. Ataupun menaiki bas Kuo Kuang Motor Co. dari perhentian bas di depan Stesen Kereta Api Keelung lama ke Taipei; kemudian, turun di perhentian bas Universiti Teknologi Nasional Taipei (di Stesen MRT Zhongxiao Xinsheng) atau Stesen Bas Taipei.

Info

Untuk maklumat lanjut tentang tarikan-tarikan di dalam dan sekitar Keelung serta kawasan-kawasan lain, sila kunjungi Pusat Pelancongan Keelung yang terletak di sebelah bangunan Stesen Kereta Api Keelung lama.