Pada 6 Mei 2024, Pentadbiran Pelancongan Taiwan secara rasmi melancarkan Jenama Pelancongan Taiwan Versi 3.0 “TAIWAN – Waves of Wonder”. Reka bentuk seperti gelombang yang menawan menggambarkan sorotan menurut musim bagi pelancongan di seluruh Taiwan. Identiti baharu ini disokong oleh unsur-unsur jenama yang inovatif termasuk filem animasi pendek dan lagu promosi untuk pelancongan Taiwan. Inisiatif ini bertujuan untuk mengukuhkan usaha Taiwan bagi menarik lebih banyak pelancong antarabangsa.

Sejak 2011, Pentadbiran Pelancongan Taiwan yang dipromosikan di peringkat antarabangsa di bawah jenama “Taiwan – The Heart of Asia”, telah berjaya mencipta imej sebagai pusat Asia. Selepas 13 tahun dan kejayaan mengatasi cabaran pandemik, Pentadbiran Pelancongan Taiwan melancarkan jenama baharunya “TAIWAN – Waves of Wonder” pada tahun 2024.

Logo “TAIWAN” 3.0 yang baharu menampilkan reka bentuk seperti gelombang yang diilhamkan oleh pergunungan, lautan, jalan berliku-liku dan kereta api di Taiwan. Selaras dengan logo Pentadbiran Pelancongan Taiwan, logo baharu ini sekali gus menggemakan identiti jenama teras yang diubah suai: Nikmati Pergunungan, Nikmati Laut, Terpesona Mengelilingi Pulau (親山、親海、樂環島).   Warna fon baharu tersebut merupakan lanjutan daripada warna oren dalam penjenamaan asal. Logo baharu sejajar dengan kehangatan dan kecergasan slogan versi 2.0 “Taiwan – The Heart of Asia”. Warna oren yang baharu ini hanya dilaraskan sedikit dari segi ketepuan dan kecerahan supaya menyerupai warna oren matahari terbit dan menonjolkan masa depan yang cerah untuk pelancongan di Taiwan. Pada masa lalu, orang ramai mencari “destinasi pelancongan”. Kini, Taiwan menyokong “perjalanan bertujuan”. Jenama baharu tersebut, bersama-sama dengan “Dwitahunan Pelancongan Taiwan” mengetengahkan perjalanan bertemakan musim, serta menjemput para pelancong antarabangsa untuk merasai keindahan Taiwan sepanjang tahun.