Daerah Chiayi
Tarikan di Daerah Chiayi kebanyakannya berasaskan warisan budaya dan sejarah. Antara yang paling terkenal ialah Lantan, yang dahulunya dikenali sebagai “Kubu Orang Asing”.
Daerah Chiayi yang diapit oleh pergunungan di satu sisi dan laut di sisi yang lain merupakan satu-satunya daerah di Taiwan yang mempunyai tiga Kawasan Pemandangan Negara, iaitu Kawasan Pemandangan Negara Alishan, Kawasan Pemandangan Negara Pantai Barat Daya, dan Kawasan Pemandangan Negara Siraya, yang masing-masing menawarkan keindahan alam semula jadi yang unik, daripada pergunungan dan dataran hinggalah ke pemandangan laut. Alishan, yang terletak di bahagian timur daerah ini berhampiran puncak tertinggi Taiwan, Gunung Yushan, merupakan tanah asal masyarakat Orang Asli Tsou. Kawasan ini terkenal dengan pemandangan matahari terbit yang menakjubkan, fenomena lautan awan, pokok-pokok purba yang menjulang tinggi, bunga sakura yang berwarna-warni, Kereta Api Hutan Alishan yang terkenal di seluruh dunia, serta laluan hutan, lembah dan air terjun yang terpencil. Daya tarikan kawasan ini turut diperkaya dengan budaya pergunungan dan legenda warisan masyarakat Tsou. Pelabuhan perikanan Dongshi dan Budai di pesisir barat merupakan tempat yang sesuai untuk mengenali industri tiram, ekologi pantai dan menikmati pemandangan pesisir. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Jeti Nelayan Dongshi telah menjadi destinasi popular pada musim panas. Taman Hutan Tanah Lembap Aogu, yang juga terletak di Dongshi, merupakan taman hutan tanah rendah terbesar di Taiwan. Pengunjung boleh menaiki rakit nelayan menyusuri Sungai Puzi ke Beting Pasir Waisanding dan Rizab Alam Semula Jadi Haomeili di Budai untuk merasai sendiri industri perikanan pesisir. Di kawasan dataran Chiayi pula, pengunjung boleh melawat Monumen Garisan Sartan sebagai pengalaman pendidikan atau mengunjungi kuil-kuil bersejarah yang telah berusia ratusan tahun. Chiayi juga menganjurkan beberapa upacara keagamaan berskala besar yang menarik ribuan pengunjung setiap tahun, daripada perarakan ziarah Mazu hinggalah perarakan air bagi menyambut “Raja Tetamu” (dewa-dewa yang berkunjung).














