Taiwan sekali lagi berjaya meraih kedudukan dalam tiga destinasi mesra Muslim terbaik di dunia dalam Indeks Pelancongan Muslim Global 2026 (Global Muslim Travel Index, GMTI) yang dikeluarkan oleh Mastercard-CrescentRating pada 18 Jun. Berkongsi kedudukan ketiga dalam kalangan destinasi- destinasi bukan OIC bersama United Kingdom, Taiwan terus membuktikan daya saing antarabangsa yang kukuh dalam sektor pelancongan mesra Muslim. Selain itu, Taipei Arena turut menerima anugerah “Tempat Acara Mesra Muslim Terbaik Tahun Ini (Muslim-friendly Event Venue of the Year)”, mencerminkan pengiktirafan antarabangsa terhadap masyarakat Taiwan yang inklusif, persekitaran yang selamat serta perkhidmatan pelancongan yang mesra pelancong.
GMTI merupakan salah satu penanda aras utama di dunia bagi menilai destinasi pelancongan mesra Muslim. Memandangkan pelancongan mesra Muslim merupakan antara pasaran yang paling pesat berkembang di peringkat global, ia diiktiraf secara meluas sebagai potensi perniagaan yang besar. Oleh itu, pelancong Muslim telah menjadi segmen pasaran utama yang giat menarik perhatian banyak negara.
Dalam indeks tersebut, Taiwan mencatatkan skor yang cemerlang, termasuk 100% bagi keperluan berasaskan agama, 98% bagi infrastruktur pengangkutan, dan 97% bagi kemudahan awam yang mesra Muslim. Pencapaian yang membanggakan ini menyerlahkan komitmen jangka panjang Pentadbiran Pelancongan Taiwan dalam mewujudkan persekitaran pelancongan yang mudah diakses dan inklusif.
Sehingga 30 Mei 2026, Taiwan mempunyai 351 buah hotel dan restoran mesra Muslim, manakala 271 tarikan pelancongan, kawasan rekreasi, hab pengangkutan serta kemudahan awam yang menyediakan bilik solat dan kemudahan berwuduk. Melalui kerjasama industri, latihan profesional dan perkhidmatan pelancongan pelbagai bahasa, Taiwan telah membangunkan ekosistem pelancongan mesra Muslim yang menyeluruh.
Pada masa hadapan, Pentadbiran Pelancongan Taiwan akan terus memperkukuh usaha promosi di pasaran utama Asia Tenggara, khususnya Malaysia dan Indonesia, di samping bekerjasama dengan rakan-rakan industri untuk terus meningkatkan perkhidmatan pelancongan mesra Muslim. Para pelancong dari seluruh dunia dialu-alukan untuk menikmati kepelbagaian tarikan Taiwan – Gelombang Keajaiban (Waves of Wonder).










